Showing posts with label Karangan Series. Show all posts
Showing posts with label Karangan Series. Show all posts

Warga Tua Patut Dihormati dan Dihargai

Warga tua ialah orang yang berusia 60 tahun ke atas. Bakti warga tua kepada keluarga masyarakat dan negara amatlah besar dan tidak dapat kita nafikan. Kebanyakan organ tua telah mengalami pelbagai pengalaman pahit manis dalam kehidupan semasa muda.

        Pada pendapat saya, warga tua sepatutnya dihormati malah diberi layanan dan penjagaan yang sempurna. Kita perlulah mengambil berat akan kebajikan warga tua. Kita hendaklah menjaga hati dan memahami kehendak mereka. Janganlah sekali-kali kita berkelakuan kasar ataupun melukai hati warga emas. Warga tua ini amat sensitif akan percakapan orang lain. Dengan meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan hati, perasaan serta pendapat warga emas akan membuatkan berasa lebih dihargai dan diperlukan. Mereka tidak akan berasa tersisih dan menganggap diri hanyalah seperti Quran buruk.

        Sebenarnya, warga tua amat berjasa. Mereka bersusah payah membesarkan anak-anak. Mereka bertitik peluh untuk mecari nafkah bagi menyara keluarga. Bak kata pepatah, "tangan yang mengayun buaian memerintah dunia" wajarlah kita mendengar nasihat dan memuliakan ibu bapa kerana jasa mereka terlalu tinggi. Lebih-lebih largi, warga tua yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kejayaan cemerlang generasi muda. Selain pendidikan secara formal, mereka juga menberikan pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak. Bolehkan kita tidak menghormati dan menghargai warga tua yang begitu berjasa kepada kita?

        Oleh sebab usia yang semakin lanjut, warga tua berkemungkinan akan menghadapi pelbagai jenis penyakit seperti penyakit kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. Secara langsung bebanan anak-anak menjaga kebajikan kesihatan mereka akan diberatkan. Lebih-lebih lagi, kos perubatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Inilah sebab anak menghantar warga tua ke rumah orang tua. Tindakan ini bagai kacang melupakan kulit. Di sini, saya berasa amat bertua untuk menyaran semua orang janganlah sesekali membiarkan warga emas berseorangan dan bersunyi. Berilah layan mesra, terutama, ketika mereka sedang sakit.

        Sewajarnya warga tua patut dihargai dan dihormati. Mereka amat berjasa dalam usaha membantu tanah air mencapai kemerdekaan. Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi bangsa dan negara. Walaupun ketika itu tidak banyak senjata moden digunakan, mereka tetap sanggup melawan pihak Jepun dengan tulang empat kerat mereka. Selepas tamat peperangan, mereka tanpa jemu memperjuangkan kemerdekaan negara kita. Mereka berani mempertahankan negara. Jasa dan pengorbanan ini amat besar untuk kita kerana tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan menikmati hidup selesa seperti sekarang.

        Bagi mengenang jasa warga tua, berbagai-bagai penghargaan diberikan kepada mereka. Contohnya, kerajaan telah mengisytiharkan Hari Warga Tua untuk mengenang jasa mereka. Mereka juga diberi pingat dan penganugerahan atas jasa dan pengorbanan mereka. Setiap kali menyambut Hari Kemerdekaan, warga tua akan diberi penghormatan dan diraikan. Sebenarnya, jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat diukur dengan hadiah atau pingat yang dianugerahkan.

        Sebagai natijahnya, warga tua perlulah diberikan keistimewaan yang sewajarnya. Kita harus sedar bahawa tanpa mereka, kita tidak akan berada di dunia ini. Golongan warga tua ini perlulah dihormati dan dihargai. Pada suatu masa nanti kita juga akan menempuh usia tua seperti mereka.


Note: Kandungan ini hanya sebagai rujukan

Amalan Membaca - Pendapat

Amalan membaca bermula di rumah. 

Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.



Marcapada, anak-anak pada zaman ini tidak suka membaca. Mereka lebih suka menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak di komplek beli-belah atau memainkan sosial media daripada membaca bahan bacaan yang berguna. Jika tidak membaca, mereka bagai katak di bawah tempurung yang kurang ilmu pengetahuan. 

        Pada pendapat saya, amalan membaca banyak mendatangkan faedah. Membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan berdasarkan bahan bacaan yang dibaca. Walaupun kemudahan pengaksesan Internet, kebanyakan informasi tidak dapat disahkan. Kita harus mengetahui bahawa kepentingan ilmu pengetahuan pada zaman yang berpaksikan kemodenan ini kerana ilmu pelita hidup. Lebih-lebih lagi, membaca dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa dan meningkatkan kemahiran penulisan. Misalnya, kita dapat menggunakan kata-kata printis yang menarik semasa mengarang makalah.

        Oleh hal yang demikian, amalan membaca perlu dipupuk bermula di rumah. Ibu bapa merupakan orang yang penting untuk memupuk amalan mulia ini kepada anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya bersikap materialistik dan individualistik dalam mencari kekayaan dan secara tidak langsung mengabaikan tanggungjawab membimbing anak-anak mereka membaca. Sebaliknya, mereka haruslah meluangkan masa untuk menemani anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa haruslah mendedahkan kelebihan membaca buku kepada anak-anak kerana budaya mambaca pembentuk generasi yang berpengetahuan.

        Selain itu, pihak ibu bapa haruslah menjadi uswah hasanah kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini demikian kerana anak-anak sentiasa mengikuti sikap kedua-dua ibu bapa mereka. Bagi memupuk amalan membaca, ibu bapa perlulah membaca di hadapan anak-anak mereka. Usaha ini dapat mendorong anak-anak untuk turut sama membaca kerana ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

        Bukan itu sahaja, ibu bapa turut memainkan peranan dalam memupuk amalan membaca dengan menyediakan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan mini tersebut perlulah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti meja, kerusi dan buku. Buku-buku yang disediakna perlulah berbentuk ilmiah dan bersesuaikan dengan peringkat umur anak-anak bagi membajai minat suka membaca dalam diri mereka. Perpustakaan mini bukan sahaja dapat digunakan oleh semua ahli keluarga untuk membaca di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam konteks ini, pengalakan membaca e-book adalah terhad kerana penglihatan mata atas skrin produk elektronik akan terjejas jika masa membaca terlalu panjang tanpa rehat dan lindungan mata yang sesuai.

        Tambahan lagi, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak berkunjung ke pameran buku. Demi mengalakkan anak-anak mereka membaca, ibu bapa harus memberi peluang kepada anak-anak mereka memilih dan membeli bahan bacaan yang disukai tetapi ibu bapa mesti memastikan bahan itu berkualiti. Pihak ibu bapa juga boleh menghadiahkan buku sempena hari jadi atau mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

        Sebagai intihannya, semua pihak sama ada ibu bapa atau pihak lain perlu memikul obligasi dan berhempas pulas bagai aur dengan tebing bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana hanya melalui pembacaan, generasi yang syumul dan celik ilmu pengetahuan mampu diwujudkan. Generasi yang dilengkapi dengan ilmu pengetahuan pasti dapat menerajui ke arah kemajuan


Note: Kandungan ini hanya sebagai rujukan

AIDS - Faktor dan Cara untuk Mengelakkan

AIDS merupakan sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya dan jumlah kesnya kini semakin meningkat saban tahun. Jelaskan punca rebakab penyakit ini dan cara untuk mengelakkannya.






Pada era globalisasi ini, gejala AIDS yang sedang merebak dengan cepat bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Penyakit AIDS merupakan singkatan perkataan Bahasa Inggeris "Acquired Immune Deficiency Syndrome" iaitu Sindrom Kurang Daya Melawan Penyakit. Penyakit AIDS adalah disebabkan oleh HIV iaitu "Human Immunodeficiency Virus". Virus tersebut akan merosakkan sistem imun badan kita dan menyebabkan kita mudah dijangkiti penyakit lain. Kadar kematian penjangkit AIDS adalah sangat tinggi kerana belum terdapat penawar yang berupaya mengubati penyakit tersebut.

        Faktor dominan yang menyebabkan penyakit AIDS berleluasa ialah kekurangan kesedaran tentang bahaya penyakit AIDS dan kurang mengamalkan amalan gaya hidup sihat. Golongan yang kurang berakhlak mengamalkan pergaulan seks bebas iaitu melakukan hubungan seks dengan ramai orang tanpa memikirkan kesudahannya. Selain itu, mereka juga melakukan hubungan seks dengan orang yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Misalnya, kegiatan pelacuran dan homoseksual telahpun menjadi gejala sosial yang tidak bermoral. Akibat daripada amalan-amalan tersebut, penyakit AIDS dapat merebak secara meluas kerana virus HIV akan dijangkiti melalui hubungan seks yang tidak terkawal. Jika seseorang pembawa HIV, maka sesiapa yang melakukan hubungan seks dengannya akan terdedah kepada bahaya HIV dan kadar jangkitan terhadap penyakit tersebut adalah tinggi.

        Selain itu, penyakit HIV boleh merebak melalui perkongsian jarum suntikan yang sudah dicemar oleh darah pembawa HIV. Kejadian tersebut berlaku terutama dalam kalangan panagih dadah yang kekurangan wang untuk membeli jarum suntikan baru daripada pembekal dadah. Oleh hal yang demikian, mereka terpaksa berkongsi jarum dengan penagih dadah yang lain. Jadi, mereka mudah terdedah kepada risiko dijangkiti HIV. Darah yang mengandungi HIV akan dipindahkan ke tubuh orang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Mereka hanya mementingkan kenikmatan semata-mata tanpa menghiraukan kesan jangka panjang yang akan berlaku terhadap mereka. Oleh itu, hampir 60% daripada jumlah penjangkit AIDS atau pembawa virus HIV terdiri daripada golongan penagih dadah.

        Seterusnya, kekurangan pengetahuan tentang penyakit AIDS juga menyumbang kepada peningkatan bilangan pesakit AIDS. Rakyat seharusnya dibekalkan informasi tentang penyakit AIDS supaya menjadi tanggungjawab mereka untuk melakukan pemeriksaan darah secepat mungkin. Tindakan ini adalah untuk mengetahui sama ada mereka ialah pembawa HIV yang berkemungkinan besar akan menyebarkan virus tersebut melalui hubungan seks rambang, pemindahan darah, ataupun melalui penyusuan ibu kepada anak. Jelaskah kepada kita betapa pentingnya bagi rakyat menyedari tentang bahaya penyakit AIDS yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi boleh juga mengancam nyawa seseorang.

        Setiap jenis penyakit pasti ada ubatnya. Tetapi lain pula dengan AIDS. Penyakit ini tiada ubat yang khusus untuk mengatasinya. Oleh sebab masih belum ada penawar untuk AIDS, usaha terbaik untuk menangani penyakit ini adalah melalui usaha pencegahan. Usaha pencegahan yang dilakukan adalah mendidik orang ramai tentang AIDS. Mesej pendidikan AIDS perlu tertumpu kepada gaya tingkah laku seksual seperti menggunakan kondom, melakukan hubungan seks yang selamat, mengelakkan bertukar-tukar pasangan seks, atau mengelak daripada mengunjungi pekerja seks. Tambahan pula, perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah juga dapat dielakkan melalui pendidikan AIDS. Tambahan lagi, usaha pendidikan AIDS membentukkan nilai keperibadian dan kemujaraban yang akhirnya akan menjadi benteng yang kukuh untuk menangani jangkitan wabak.

        Langkah yang tidak boleh dikesampingkan untuk mencegah perebakan AIDS ialah mengelakkan terus seks luar nikah, setia kepada pasangan serta menjauhi hubungan homoseksual. Pelbagai langkah pencegahan telahpun dilaksanakan oleh banyak pihak untuk mangawal penyakit ini daripada merebak. Kerajaan mewartakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang mensyaratkan supaya semua penyakit jangkitan HIV dilaporkan di klinik berdekatan. Seterusnya, kerajaan harus diwajibkan semua bakal pengantin untuk menjalani ujian HIV sebelum berkahwin. Syarat ini dikenakan kerana status kesihatan pasangan adalah sangat penting sebelum mereka berkahwin. Sesi kaunseling akan diberikan kepada pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan mereka walaupun setelah mengetahui pasangannya adalah HIV positif.

        Kesimpulannya, AIDS merupakan penyakit yang belum ada ubatnya. Penyakit HIV AIDS ini mendatangkan kesan yang amat buruk dan kesan yang lama. Bagi golongan yang tidak berdosa seperti anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai jangkitan yang berbahaya ini akan memberi impak kepada anak tersebut. Jadi, penyakit AIDS yang lama mengancam ketenteraman kehidupan manusia haruslah dibasmi demi kesejahteraan manusia sejagat. Kerjasama antara pelbagai pihak adalah sangat penting bagi menyelesaikan masalah AIDS yang merupakan peragut nyawa sebelum keadaan ini bertambah serius.

Note: Kandungan ini hanya sebagai rujukan

Recent Post

Warga Tua Patut Dihormati dan Dihargai

Popular Posts